Bank Rakyat sedia RM200 juta untuk vendor PETRONAS
article printer email
Tarikh Berita : Selasa, 07 Mei 2019
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat memperuntukkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta khas untuk vendor PETRONAS menerusi Program Pembiayaan Vendor.

Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Abdul Razak Abu Bakar, berkata pembiayaan berkenaan terbuka kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang memperoleh kontrak daripada PETRONAS dan menepati penilaian kredit pihaknya.

Katanya, pembiayaan berkenaan juga hanya untuk vendor yang terbabit dalam sektor peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan.

“Jika program berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada vendor terbabit, kami akan meningkatkan jumlah peruntukan mengikut keperluan semasa.

“Selain itu, kami juga merancang untuk meluaskan program berkenaan ke sektor lain seperti telekomunikasi dan tenaga,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PETRONAS di sini, hari ini.

Abdul Razak memeterai MoU bagi pihak Bank Rakyat manakala PETRONAS diwakili Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Samsudin Miskon.

Ia disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi PETRONAS, Adnan Zainal Abidin.

Menerusi inisiatif berkenaan, Bank Rakyat menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM10 juta kepada vendor yang layak.

Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, Mohd Redzuan berkata ia bertujuan memberi manfaat kepada PKS dalam sektor OGSE tempatan bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan dan kecairan penggiat sektor OGSE.

“Dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan dan merangsang pertumbuhan perniagaan PKS, program in juga bertujuan membantu vendor dari aspek modal kerja.

“Selain itu, ia juga boleh meningkatkan aliran tunai bagi menyiapkan kontrak yang dianugerahkan PETRONAS,” katanya.


https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/05/561104/bank-rakyat-sedia-rm200-juta-untuk-vendor-petronas
 
Kongsi Halaman Ini :
 
Pengguna Atas Talian : online
Statistik Pelawat : totaltotaltotaltotaltotaltotaltotal